Menghidap ekzema tidak halang Azah terus aktif Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

TIADA halangan bagi wanita ini memenuhi segala cita-citanya walaupun di sebaliknya beliau menderita sejenis penyakit kulit yang dinamakan ekzema.

Penyakit yang dialami oleh dua dari setiap 10 orang ini masih belum begitu mendapat pendedahan di kalangan ibu bapa dan pesakit. Bagi yang belum tahu, ekzema adalah sejenis penyakit genetik yang diwarisi dari ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali.

Penyakit ini menyebabkan pengidapnya mengalami kegatalan kulit terutama di bahagian pelipat seperti di tengkuk, belakang lutut dan ruang antara tangan dan lengan. Apabila penghidap ekzema terdedah kepada habuk, cuaca terlalu kering atau peluh yang keluar dari badan, dia akan merasa gatal dan tidak dapat mengawal diri dari menggaru bahagian tersebut.

Kesan garu dan kulit yang sensitif menyebabkan kulit pesakit ekzema tidak lembut, warna seakan kehitaman, kasar dan berparut.

Bagi sesetengah penghidap ekzema, kesan atau parut kulit yang digaru menyebabkan mereka mengalami perasaan rendah diri.

Bagaimanapun anda tidak harus bersikap negatif kerana sebenarnya anda tidak keseorangan dan ada cara mengawal penyakit anda itu.

Nama Azah Yazmin Yusoff, 34, memang cukup terkenal di kalangan penonton yang pernah melihat beliau menjadi pengacara musim pertama 3R, bersama Rafidah dan Yuen.

Perwatakannya yang ceria dan paras rupa yang menarik menyebabkan beliau terpilih untuk menjadi pengacara rancangan berbentuk keremajaan itu. Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan pelakon iklan, drama, pengacara majlis dan juga model.

Azah membuktikan tiada halangan bagi seorang penghidap penyakit ekzema untuk tampil yakin di khalayak ramai asal tahu cara mengawal penyakit mereka.

Menceritakan salah satu pengalaman yang tidak akan beliau lupakan, Azah berkata, pernah satu ketika ketika dia tiba di pintu imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, cap jarinya tidak jelas dan beliau terpaksa melalui pintu biasa untuk masuk ke negara ini. Garisan di ibu jarinya tidak jelas kerana kekeringan kulit yang melampau.

“Saya merupakan penghidap ekzema sejak dari kecil lagi, sejak dari itu sudah pelbagai jenis ubat saya cuba untuk mengurangkan penderitaan yang saya alami. Bukan setakat ubat-ubatan saintifik, malah tradisional, homeopati, rawatan tradisional Cina dan macam-macam lagi,” ujarnya ketika ditemubual di studio Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Azah mengakui, penyakit kulit yang dideritainya ini tidak akan berakhir, namun adalah amat penting bagi seseorang yang menghidap ekzema itu tahu cara untuk mengawal penyakit mereka. Mengetahui punca kegatalan menyerang adalah salah satu cara mengawal penyakit tersebut.

“Macam saya, pengambilan makanan laut akan membuatkan kulit saya mengalami gatal yang luar biasa. Selain itu, saya juga pastikan kulit saya tidak kering dengan menggunakan losen khas untuk kulit sensitif seperti saya,” ujar Azah yang memiliki Ijazah Sarjana (master) Kewartawanan Televisyen dari Kolej Universiti Goldsmiths di London.

Bagi mengawal kegatalan akibat ekzema, Azah menggunakan barangan penjagaan kulit dari jenama Eucerin.

Sejak menggunakan cecair mandian dan losen PH5 Eucerin, Azah dapat mengurangkan kekeringan kulit dan seterusnya mengurangkan rasa gatal di kulitnya.

“Boleh dikatakan sudah beratus produk yang saya cuba untuk mengawal ekzema saya, saya dapati produk Eucerin betul-betul sesuai untuk saya dan ia amat membantu saya terutama apabila saya mempunyai urusan di luar seperti mengacara dan bekerja.

“Kadang kala saya terlepas makan makanan laut, akibatnya kegatalan menjadi-jadi, nasib baik ada losen Eucerin yang mengurangkan kegatalan itu, jika tidak, tentu kulit saya menjadi semakin teruk dan parut timbul di mana-mana saja,” jelasnya diiringi ketawa kecil.

Azah ingin mengajak sesiapa sahaja yang mengalami masalah kulit sepertinya untuk mengunjungi laman web http://www.eczema.webs.com atau http://www.atopiceczema.wordpress. com. Bagi yang ingin mengenali Azah dengan lebih lanjut boleh kunjungi blog Azah iaitu http://www.azahyazmin.webs.com.

(c) 2008 Utusan Malaysia